"Dunia didahulukan, akhirat diutamakan." - Si Penimba Ilmu
Dalam kita sibuk merancang dan berusaha untuk masa depan kita di dunia, janganlah kita lupakan bahawa kita semua akan kembali kepada-Nya. Jika di dunia ini kita berusaha keras untuk menyara keluarga serta diri dengan membeli barangan keperluan seperti kereta dan rumah, namun sejauh manakah telah kita berusaha untuk keperluan kita di akhirat kelak?
Pada lembaran kali ini, penulis ingin berkongsi dengan para pembaca pelan-pelan pembelian rumah di syurga. Bahasa mudahnya cara nak tempah rumah untuk akhirat kelak. Kenapa penulis ingin bercerita mengenai perkara ini? Sebabnya adalah semua orang akan impikan untuk memiliki tempat kediaman yang selesa akan tetapi tidak semua yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk memiliki walau sebuah rumah. Tambahan pula, kita tidak mengetahui bila kita akan dipanggil ke alam barzakh.
Oleh yang demikian, terdetik di hati penulis untuk membeli rumah di syurga walau tidak mampu/sempat untuk memiliki rumah di dunia. Sekurang-kurangnya adalah juga sedikit saham tambahan untuk kita memasuki syurga. Pelan-pelan yang disediakan pula tidak menggunakan sesen pun duit kita. Apa yang perlu adalah niat, usaha, istiqamah.
Jadi, mari kita teliti pelan-pelan berikut:
# Membina masjid
Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membina masjid kerana Allah di dunia, maka Allah SWT akan membina untuknya seperti itu di akhirat."
Dalam riwayat lain, daripada Umar bin al-Khattab katanya; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membina masjid yang diingati padanya nama Allah, Allah akan bina untuknya sebuah rumah di dalam syurga."
Menurut Al-Marhum Syeikh Dr. Walied al-Ani, beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang berusaha membuat sumbangan untuk membina rumah Allah, atau apa sahaja yang membantu menghidupkan masjid seperti sumbangan untuk kelab anak-anak, kelab wanita masjid, perpustakaan, dan pusat komputer adalah yang termasuk dalam pengertian hadis ini.
#Amalkan membaca surah Al-Ikhlas
Daripada Mu'az bin Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang membaca ' Qul huwallahu ahad' sebanyak sepuluh kali, Allah bina baginya sebuah rumah di syurga."
(majma; al-Zawa'id, no 11535)
![]() |
| Masjid Biru Istanbul, Turki |
#Mengucapkan lafaz hamdalah dan istirja' semasa ditimpa musibah kepada anak, dibina bagi golongan ini rumah yang dinamakan Bait al-Hamd.
(Riyad as-Salihin, jilid 1 halaman 360)
#Merapatkan saf solat
- Sahih al-Jami' no 1843
#Mengamalkan solat sunat rawatib secara berterusan (istiqamah)
Menurut Syeikh al-Albani berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah binti Abu Sufyan yang bermaksud:
Daripada Ummu Habibah katanya; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa bersolat 12 rakaat dalam sehari dan semalam, dibina untuknya sebuah rumah di syurga."
(Riwayat Muslim, no 728)
Dalam riwayat yang lain, Aishah menyatakan 12 rakaat itu adalah solat sunat rawatib.
Daripada Aishah, daripada Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa sentiasa melazimi solat 12 rakaat, Allah azzawajala akan bina baginya sebuah rumah di dalam syurga. 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepas Zuhur, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya' dan 2 rakaat sebelum Subuh."
(Riwayat an-Nasai' no 1795, at-Tirmizi no 414, dan Ibn Majah, no:1140)
#Mengalah di dalam sesuatu pertengkaran walaupun berada di pihak yang benar
-Sahih at-Taghrib wa at-Tarhib
#Tidak menipu walaupun dengan niat bergurau atau suka-suka.
Dalam erti kata lain bergurau dengan cara yang benar.
-Sahih at-Taghrib wa at-Tarhib
#Berzikir
Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Hakim al-Ahmasi; Aku mendengar bahawa syurga dibangunkan dengan zikir. Apabila zikir itu terhenti maka berhenti jugalah malaikat yang bekerja membangunkannya. Apabila ditanyakan : "Mengapa kamu berhenti bekerja?" Mereka menjawab : " Kami sedang menunggu bahan-bahannya."
Penerangan ringkas di atas harap dapat menambah sedikit ilmu kepada pembaca. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk kejayaan di dunia dan di akhirat.
Sumber-sumber:



No comments:
Post a Comment