Thursday, 15 November 2012

Realiti vs Mimpi #1




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi itu hanya dapat dikesan jika kita bersabar dalam menghadapinya.

Pagi tadi, selesai sahaja membaca doa bangun tidur penulis segera mendapatkan telefon bimbit yang diletakkan berdekatan. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi penulis berbuat demikian. Pertama, bertujuan untuk melihat jam bagi menentukan waktu semasa. Kedua, memeriksa sama ada penulis ada menerima apa-apa pesanan ringkas (SMS).

Apabila memeriksa telefon bimbit bagi nombor Celcom, seperti biasa tiada SMS baru. Kemudian penulis memeriksa pula telefon bimbit bagi nombor Maxis dan mendapati ada SMS dari adik angkat yang dikasihi (bertarikh 14 November 2012 – 4.19AM). Mesejnya berbunyi sebegini:

Salam..abg bole dpt wanita better dari zetty tahu ta..zety hanya berkawan je dgn sape2.tp tok more than that,no.termasuk bf zety skrg..zety ta na rosakkan hati zety sebab lelaki lg.cukuplah

Bukan niat penulis untuk menyebarkan SMS tersebut tetapi SMS tersebut mempunyai kaitan dengan mimpi yang dialami penulis pada 1 November yang lalu.

Mimpinya begini → Penulis tengah bersama dengan Zetty. Tiba-tiba Zetty meminta agar diberi sedikit masa. Dia ingin menyelesaikan segala kerunsingan dan permasalahan yang dihadapi. Kemudian, dalam mimpi yang sama penulis menyatakan yang penulis memahami dan memberikan masa untuk dua-dua bersedia. Setelah dia mengucapkan terima kasih, mimpi pun terhenti.

Mimpi ini mungkin petunjuk dari Ilahi kerana pada pagi tarikh tersebut, setelah mendirikan solat sunat dhuha penulis mendirikan pula solat sunat istikharah menyatakan kerunsingan penulis. Selesai berdoa, mata penulis rasa berat dan diri rasa mengantuk sangat. Lantas penulis tidur dan mendapat mimpi tersebut.

Apapun penulis memang memerlukan masa lagi untuk lebih mengenali dirinya dan untuk mempersiapkan diri memikul tanggungjawab yang ingin digalas. Bak kata Hilal Asyraf dalam penulisan beliau, belajar tekan butang “pause”. Berhenti seketika dalam keterujaan untuk memiliki teman hidup dan ambil masa bersiap siaga serta mengenali hati budi orang yang diminati.

Sekian sahaja penulisan kali ini. Semoga pembaca semua dalam pemeliharaan Allah SWT.

~Selamat Malam~

Monday, 12 November 2012

Dua dalam Satu


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah beberapa hari penulis meninggalkan ruangan penulisan di blog ini. Sibuk dengan kerja-kerja harian. Nasib baiklah pelajar-pelajar sekolah sudah mula bercuti. Dapatlah penulis berehat seketika sebelum menjejakkan kaki kembali ke alam pembelajaran.


_________________________________________________________________________________
Pelaburan Bermula

Alhamdulillah, selamat sudah penulis memulakan pelaburan di salah satu laman sesawang. InsyaAllah, buat masa ini 2 bulan sekali penulis dapat meraih hasilnya. Walaupun buat masa ini hasilnya tidak banyak dan keuntungan hanya dapat dikira selepas 10 bulan tetapi ianya lebih berbaloi daripada penulis melabur dengan laman-laman yang menawarkan kadar pulangan yang sangat tinggi.

Ada lagi satu laman yang penulis telah mula melabur sejak bulan Jun 2012 yang lalu. InsyaAllah pulangan dari laman tersebut penulis akan dapat awal bulan Disember nanti. Jika panjang umur dan murah rezeki, penulis akan memberikan ulasan yang lebih lanjut mengenai kedua-dua laman sesawang tersebut. InsyaAllah~


_________________________________________________________________________________
Luahan Hati dikala Malam yang Sepi

Alangkah gembiranya hati bila dapat bertemu dengan orang yang disayangi. Terutama apabila orang itu orang yang kita lama tidak berjumpa. Hee~ Ahad akan datang, 18 November 2012 penulis akan bertemu dengan satu-satunya adik angkat penulis, Zetty. Dia cakap nak belanja. Jadi jika tiada aral yang melintang dapatlah kami bertemu.

Bapa dan ibu penulis telah pun tahu yang penulis akan menggunakan kereta untuk tujuan itu pada tarikh tersebut. Tapi apa yang mereka tidak tahu ialah dia bukanlah kekasih penulis. Semalam (10 Nov 2012) semasa menyatakan hasrat untuk menggunakan kereta, ibu penulis bertanya.

Ummi (panggilan penulis kepada ibu) : Nak guna berapa lama? Pagi ke Petang?
Penulis: Pagi sampai petang.
Ummi :Eh, lamanya. Ni nak keluar dengan siapa?
Penulis: Zetty.
Ummi: Yang pergi jumpa hari itu ke?
Penulis: A'ah.
Ummi: Oo.. Haritu jumpa dia macam mana? Ok ke orangnya?
Penulis: (Diam sebentar)... Ok je dia.

Perbualan terhenti seketika sebelum disambung dengan topik lain. Apa yang penulis ingin menyatakan di sini ialah ibu penulis menyangkakan Zetty itu kekasih penulis. Buat masa ini dia hanya sekadar adik angkat sahaja. Tambahan pula dia sudah mempunyai kekasih hati sendiri. Tetapi, tidaklah penulis mengatakan bahawa penulis tidak menaruh perasaan terhadapnya. Rasa sayang itu ada tetapi belum sampai masanya lagi untuk dilafazkan kepadanya. Masih perlu diberikan sedikit masa lagi.

Jika diberikan kesempatan dan peluang, ingin saja penulis melamar dan menikahinya tetapi persediaan masih belum mencukupi. Ilmu yang penulis ada sekarang ini masih belum mencukupi untuk memimpin orang lain. Memimpin diri sendiri pun masih penulis terkapai-kapai lagi. Perancangan untuk sumber pendapatan telah pun mula berjalan. Perancangan ilmu agama masih lagi dalam perangkaan.

Sekian sahajalah dari penulis. Mata dah kuyu, minda dah penat. Rasanya lebih baik penulis beradu dahulu. Moga-moga cita-cita penulis ini tercapai. Hehe~

~Selamat Malam~

Tuesday, 6 November 2012

Puisi #1 - Perancangan Ku


Langit,
Gelap di luar sana
Menantikan terbitnya sang suria
Seperti aku menantikan
saat bersua denganmu

Hati ini tidak tenang,
Risau dengan apa yang diminta,
Adakah akan diperkenankan
atau permintaan akan ditolak?

Permintaanku ringkas sahaja
Ingin bersua dengan keluarga
serta menyatakan perasaanku
yang dipendam bersama rindu.

Aku tidak ingin lagi menjadi seperti dulu
Meluahkan rasa sayang
Saat masih belum memiliki
Cukuplah sementara ini 
Hanya keluargamu yang mengetahui
Perasaan yang ada di hati
Dan cukuplah Allah menjadi saksi.

Jika umur masih panjang,
Jika kesempatan masih diberi,
Bila akad sudah dilafazkan,
Bila cincin sudah disarungkan
Barulah perasaan yang terbuku dihati
Akan dilafazkan di realiti.

Rezeki akan ku cari,
Rumah akan ku beli,
Kenderaan akan ku miliki,
Semua itu tidak mustahil untuk dipenuhi,
Selagi kita tidak lupa pada Ilahi.

Inilah harapanku,
Inilah perancanganku,
Semoga ianya diberkati
Dan direstui Tuhan Yang Satu.

Thursday, 1 November 2012

Pelan Pembelian Rumah di Syurga

 
"Dunia didahulukan, akhirat diutamakan." - Si Penimba Ilmu

Dalam kita sibuk merancang dan berusaha untuk masa depan kita di dunia, janganlah kita lupakan bahawa kita semua akan kembali kepada-Nya. Jika di dunia ini kita berusaha keras untuk menyara keluarga serta diri dengan membeli barangan keperluan seperti kereta dan rumah, namun sejauh manakah telah kita berusaha untuk keperluan kita di akhirat kelak?

   Pada lembaran kali ini, penulis ingin berkongsi dengan para pembaca pelan-pelan pembelian rumah di syurga. Bahasa mudahnya cara nak tempah rumah untuk akhirat kelak. Kenapa penulis ingin bercerita mengenai perkara ini? Sebabnya adalah semua orang akan impikan untuk memiliki tempat kediaman yang selesa akan tetapi tidak semua yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk memiliki walau sebuah rumah. Tambahan pula, kita tidak mengetahui bila kita akan dipanggil ke alam barzakh.

   Oleh yang demikian, terdetik di hati penulis untuk membeli rumah di syurga walau tidak mampu/sempat untuk memiliki rumah di dunia. Sekurang-kurangnya adalah juga sedikit saham tambahan untuk kita memasuki syurga. Pelan-pelan yang disediakan pula tidak menggunakan sesen pun duit kita. Apa yang perlu adalah niat, usaha, istiqamah.

Jadi, mari kita teliti pelan-pelan berikut:

# Membina masjid
Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membina masjid kerana Allah di dunia, maka Allah SWT akan membina untuknya seperti itu di akhirat."

Dalam riwayat lain, daripada Umar bin al-Khattab katanya; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membina masjid yang diingati padanya nama Allah, Allah akan bina untuknya sebuah rumah di dalam syurga."

Menurut Al-Marhum Syeikh Dr. Walied al-Ani, beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang berusaha membuat sumbangan untuk membina rumah Allah, atau apa sahaja yang membantu menghidupkan masjid seperti sumbangan untuk kelab anak-anak, kelab wanita masjid, perpustakaan, dan pusat komputer adalah yang termasuk dalam pengertian hadis ini.

#Amalkan membaca surah Al-Ikhlas
Daripada Mu'az bin Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang membaca ' Qul huwallahu ahad' sebanyak sepuluh kali, Allah bina baginya sebuah rumah di syurga."
(majma; al-Zawa'id, no 11535)

Masjid Biru Istanbul, Turki

#Mengucapkan lafaz hamdalah dan istirja' semasa ditimpa musibah kepada anak, dibina bagi golongan ini rumah yang dinamakan Bait al-Hamd.
(Riyad as-Salihin, jilid 1 halaman 360)

#Merapatkan saf solat
- Sahih al-Jami' no 1843

#Mengamalkan solat sunat rawatib secara berterusan (istiqamah)
Menurut Syeikh al-Albani berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah binti Abu Sufyan yang bermaksud:

Daripada Ummu Habibah katanya; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa bersolat 12 rakaat dalam sehari dan semalam, dibina untuknya sebuah rumah di syurga."
(Riwayat Muslim, no 728)

Dalam riwayat yang lain, Aishah menyatakan 12 rakaat itu adalah solat sunat rawatib.
Daripada Aishah, daripada Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa sentiasa melazimi solat 12 rakaat, Allah azzawajala akan bina baginya sebuah rumah di dalam syurga. 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepas Zuhur, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya' dan 2 rakaat sebelum Subuh."
(Riwayat an-Nasai' no 1795, at-Tirmizi no 414, dan Ibn Majah, no:1140)

#Mengalah di dalam sesuatu pertengkaran walaupun berada di pihak yang benar
-Sahih at-Taghrib wa at-Tarhib

#Tidak menipu walaupun dengan niat bergurau atau suka-suka.
Dalam erti kata lain bergurau dengan cara yang benar.
-Sahih at-Taghrib wa at-Tarhib

#Berzikir
Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Hakim al-Ahmasi; Aku mendengar bahawa syurga dibangunkan dengan zikir. Apabila zikir itu terhenti maka berhenti jugalah malaikat yang bekerja membangunkannya. Apabila ditanyakan : "Mengapa kamu berhenti bekerja?" Mereka menjawab : " Kami sedang menunggu bahan-bahannya."


   Penerangan ringkas di atas harap dapat menambah sedikit ilmu kepada pembaca. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sumber-sumber:
  1. http://lemonade-nynaa.blogspot.com/2010/07/membina-rumah-di-syurga.html
  2. http://peribadirasulullah.wordpress.com/2010/03/20/13-cara-membina-mahligai-di-dalam-syurga/
  3. http://mencaricinta-rhoza.blogspot.com/2011/10/bina-rumah.html