Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Assalamualaikum kepada para pembaca sekalian.
Pertama sekali, penulis hanya menggunakan kata aluan 'assalamualaikum' sahaja kerana kata tersebut berasal dari bahasa Arab yang bermaksud 'selamat sejahtera ke atas kamu (semua)'. Assalamu = selamat sejahtera, ala' = ke atas/atas, kum = kamu (merujuk kepada tiga orang atau lebih). Jadi adalah tidak salah penulis menggunakan kata 'assalamualaikum' untuk mendoakan kesejahteraan para pembaca sekalian.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Berbalik kepada tajuk penulisan kali ini, hidup ini sebenarnya membosankan. Membosankan jika kita hidup tanpa tujuan. Tanpa matlamat hidup. Hari-hari yang kita lalui adalah perkara yang sama - pergi kerja balik kerja, pergi belajar balik belajar. Rutin harian kita sama sahaja. Tidak ada perubahan, tidak ada kemajuan. Lama kelamaan jiwa kita menjadi kosong. Hidup yang membosankan, jiwa kosong.
Bagi memperoleh kemanisan hidup sepenuhnya, kita mesti mempunyai matlamat/ tujuan hidup. Akan tetapi matlamat dan tujuan hidup sahaja tidak mencukupi. Kita mesti ada usaha. Tanpa usaha matlamat/tujuan tersebut hanya angan-angan dan mimpi. Tujuan hidup kita boleh jadi untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Kita yang tentukan, kita yang pilih.
Pernahkan kita fikirkan, apabila kita berjaya mencapai impian/matlamat kita apa seterusnya yang kita akan buat? Adakah hidup kita akan terus jadi menarik atau hidup kita akan kembali membosankan? Jikalau kita hanya memasang matlamat duniawi sahaja memanglah hidup kita akan kembali membosankan setelah matlamat tercapai. Masakan tidak, matlamat tersebut hanya untuk beberapa minggu/bulan/tahun sahaja. Walaupun kita membuat perancangan yang berterusan, tapi sampai bila perancangan tersebut bertahan? Berapa lama kita akan bersemangat untuk menggapai matlamat tersebut?
Penulis dari kecil sampai besar ada matlamat yang penulis putus asa untuk kejar. Nak cerita satu-satu memang malas la. Hahaha.. Tapi semenjak penulis memasuki Maktab Rendah Sains MARA Alor Gajah, pemikiran penulis semakin terbuka. Penulis mula mencari matlamat hidup hakiki, yang berkekalan hingga nafas yang terakhir yang akan sentiasa berlegar dalam pemikiran penulis walaupun penulis berhenti sebentar untuk mencapainya. Matlamat yang penulis jumpa tersebut adalah untuk menjadi lebih baik di dunia dan di akhirat.
Matlamat tersebutlah yang sentiasa mendorong penulis ketika mana penulis tidak bersemangat. Matlamat tersebut yang mendorong penulis ketika penulis merasakan hidup ini tidak bererti dan membosankan. Matlamat tersebutlah yang mengingatkan penulis ketika penulis terlalai dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Matlamat tersebutlah yang menceriakan hidup penulis.
Kesimpulannya, hidup ini sememangnya membosankan tetapi kita yang memilih samada ingin mengubahnya atau tidak. Jika kita ingin mengubahnya, adakah kita ingin ia berlaku hanya sekejap-sekejap sahaja? Bagi mendapatkan keceriaan hidup yang berpanjangan hendaklah kita menetapkan matlamat hidup kita pada kematian. Sebabnya kita semua tidak akan dapat lari dari kematian.