Sunday, 3 November 2013

Kebosanan Hidup

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Assalamualaikum kepada para pembaca sekalian.

Pertama sekali, penulis hanya menggunakan kata aluan 'assalamualaikum' sahaja kerana kata tersebut berasal dari bahasa Arab yang bermaksud 'selamat sejahtera ke atas kamu (semua)'. Assalamu = selamat sejahtera, ala' = ke atas/atas, kum = kamu (merujuk kepada tiga orang atau lebih). Jadi adalah tidak salah penulis menggunakan kata 'assalamualaikum' untuk mendoakan kesejahteraan para pembaca sekalian.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berbalik kepada tajuk penulisan kali ini, hidup ini sebenarnya membosankan. Membosankan jika kita hidup tanpa tujuan. Tanpa matlamat hidup. Hari-hari yang kita lalui adalah perkara yang sama - pergi kerja balik kerja, pergi belajar balik belajar. Rutin harian kita sama sahaja. Tidak ada perubahan, tidak ada kemajuan. Lama kelamaan jiwa kita menjadi kosong. Hidup yang membosankan, jiwa kosong.

Bagi memperoleh kemanisan hidup sepenuhnya, kita mesti mempunyai matlamat/ tujuan hidup. Akan tetapi matlamat dan tujuan hidup sahaja tidak mencukupi. Kita mesti ada usaha. Tanpa usaha matlamat/tujuan tersebut hanya angan-angan dan mimpi. Tujuan hidup kita boleh jadi untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Kita yang tentukan, kita yang pilih.

Pernahkan kita fikirkan, apabila kita berjaya mencapai impian/matlamat kita apa seterusnya yang kita akan buat? Adakah hidup kita akan terus jadi menarik atau hidup kita akan kembali membosankan? Jikalau kita hanya memasang matlamat duniawi sahaja memanglah hidup kita akan kembali membosankan setelah matlamat tercapai. Masakan tidak, matlamat tersebut hanya untuk beberapa minggu/bulan/tahun sahaja. Walaupun kita membuat perancangan yang berterusan, tapi sampai bila perancangan tersebut bertahan? Berapa lama kita akan bersemangat untuk menggapai matlamat tersebut?

Penulis dari kecil sampai besar ada matlamat yang penulis putus asa untuk kejar. Nak cerita satu-satu memang malas la. Hahaha.. Tapi semenjak penulis memasuki Maktab Rendah Sains MARA Alor Gajah, pemikiran penulis semakin terbuka. Penulis mula mencari matlamat hidup hakiki, yang berkekalan hingga nafas yang terakhir yang akan sentiasa berlegar dalam pemikiran penulis walaupun penulis berhenti sebentar untuk mencapainya. Matlamat yang penulis jumpa tersebut adalah untuk menjadi lebih baik di dunia dan di akhirat.

Matlamat tersebutlah yang sentiasa mendorong penulis ketika mana penulis tidak bersemangat. Matlamat tersebut yang mendorong penulis ketika penulis merasakan hidup ini tidak bererti dan membosankan. Matlamat tersebutlah yang mengingatkan penulis ketika penulis terlalai dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Matlamat tersebutlah yang menceriakan hidup penulis.

Kesimpulannya, hidup ini sememangnya membosankan tetapi kita yang memilih samada ingin mengubahnya atau tidak. Jika kita ingin mengubahnya, adakah kita ingin ia berlaku hanya sekejap-sekejap sahaja? Bagi mendapatkan keceriaan hidup yang berpanjangan hendaklah kita menetapkan matlamat hidup kita pada kematian. Sebabnya kita semua tidak akan dapat lari dari kematian.

Saturday, 2 November 2013

Perawat Tradisional

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

Assalamualaikum kepada semua pembaca sekalian.

    Lama sudah penulis meninggalkan penulisan di ruangan blog ini. Rasanya lebih dari 7 bulan blog ini dibiarkan. Sejak dari komputer riba penulis dicuri pada bulan Februari 2013. Ditambah pula dengan rasa malas umtuk menaip membuatkan blog ini terbiar sahaja.

    Hm.. Rasanya kali ini penulis ingin bercerita mengenai pengalaman berjumpa dengan perawat . Berikutan dengan kes kecurian komputer riba penulis bersama dengan 2 buah telefon bimbit dan dompet penulis.

    Seorang perawat tradisional ini ditemui pada bulan Mac 2013. Perawat tersebut tinggal di Selangor. Kawasan dan tarikh sebenar tidak penulis ingat. Nama perawat tersebut kalau tidak silap Nasaruddin.

Ceritanya begini...

    Kami (penulis, abang, ayah dan mak penulis) berangkat ke kediaman perawat tersebut mengubati penyakit abi (perkataan Arab yang bermaksud ayah saya) dan sebagai ikhtihar mencari pencuri barang-barang penulis. Dipendekkan cerita, semasa proses rawatan berlangsung, perawat tersebut menyatakan dengan jelas, terang dan didengari oleh semua yang berada di situ bahawa abi akan pulih dalam masa 40 hari dan saya akan menjumpai pencuri atau mendapat ganti barangan yang hilang dalam masa 40 hari juga. Ditanya perlu tak kami datang lagi dia menjawab tidak perlu.

     Setelah tamat segala proses, kami berangkat pulang. Dipendekkan cerita lagi, setelah 40 hari abi masih lagi kurang sihat dan penulis tidak menjumpai pencuri mahupun mendapat gantirugi barangan yang hilang. Apabila abang penulis bertanya kepada perawat tersebut, dia mengatakan sebab kami tidak datang lagi dalam masa 40 hari tersebut. Tidak cukup rawatan katanya. Padahal dia telah mengatakan akan pulih dalam masa 40 hari, tidak perlu datang lagi. Tup tup.. Dia jawab sebab tidak cukup rawatan dan tidak datang semula dalam tempoh 40 hari. Nampak tak permainannya di situ?

     Kesimpulannya, perawat tradisional tidak boleh dipercayai. Bukan semua tetapi kebanyakkannya memang tidak boleh dipercayai. Lagi-lagi yang kita boleh lihat percanggahan pada diri perawat dengan agama. Sebagai contoh Encik Nasaruddin tersebut, dia memakai rantai leher sedangkan dalam Islam lelaki diharamkan memakai rantai leher. Kemudian semasa rawatan, memang dia membaca ayat al-Quran seperti surah al-Iklas tetapi bacaannya terlampau pantas dan tidak mengikut hukum tajwid.

Sekian~

Saturday, 12 January 2013

Kejujuran VS Tipu Helah



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

 Kejujuran yang pahit lebih baik berbanding penipuan yang manis

Sesungguhnya, telah terbukti di dalam sesuatu hubungan kebenaran yang pahit itu lebih baik berbanding penipuan yang manis. Dapat penulis maklumat ini melalui 3 sumber – pengalaman kawan, pengalaman sendiri dan hasil ujikaji penulis sendiri.

Pengalaman kawan
Seorang kawan penulis ini baru sahaja beberapa lama berbaik semula dengan buah hatinya. Penulis merujuk padanya sebagai H dan buah hatinya sebagai McD. Pada awal hubungan, mereka seperti tidak boleh berjauhan. Sering sahaja ingin berjumpa. Si H ini selalu sahaja keluar rumah untuk pergi berjumpa dengan buah hatinya. Sampai satu tempoh, hubungan mereka menjadi renggang. Seringkali mereka bergaduh dan selalunya si McD yang memulakan dahulu.

Dari apa yang diceritakan H, McD seperti tidak selesa dengan hubungan mereka. Mungkin terlalu cepat baginya. Hubungan mereka seperti biskut, sekejap ada sekejap tiada. Sehinggalah bulan 10 tahun lepas, mereka dah mula jarang berhubung. McD mengatakan  yang dia telah kembali kepada bekas kekasihnya. H seperti tidak keruan tetapi masih lagi waras. H cuba mencari pengganti tetapi hatinya tetap mengatakan McDlah orangnya.

Sehinggalah suatu hari dalam bulan Disember 2012, McD mengatakan yang dia rindu H. Setelah berbaik semula barulah masing-masing meluahkan apa yang sebenarnya terbuku di dalam hati. H pada sebelum ini seperti mengongkong McD kerana dia pada masa itu baru lepas kecewa dengan insan lain. Manakala McD pula takut dikecewakan lagi oleh lelaki kerana kekasihnya sebelum ini pergi pada orang lain. Kerana masing-masing tidak jujur dengan perasaan sendiri maka mereka terpaksa mengharungi suatu tempoh yang amat perit. Tapi kebaikan yang hadir selepas tempoh tersebut ialah hati mereka lebih tabah dan mereka lebih memahami antara satu sama lain.

Semoga mereka disatukan dengan rahmat-Nya dan berkekalan hingga ke syurga. J


Pengalaman sendiri
Sebelum ini penulis pernah menceritakan tentang tuan puteri (TP) penulis bukan? Kisah di mana dia mengatakan bahawa hati dia telah dimiliki oleh insan yang merupakan pilihan keluarganya. Sebenarnya dia telah menipu penulis. Pada pertengahan bulan November yang lepas, sebelum penulis memulakan semester pembelajaran baru dia telah memberitahu perkara yang sebenar. Itu pun setelah dia membaca blog penulis yang berkaitan dengan adik angkat penulis.

TP penulis mengatakan dia berbuat demikian kerana nak menguji keseriusan penulis terhadapnya. Tetapi dia kecewa setelah mengetahui yang penulis mencari orang lain. Bagaimana mungkin penulis tidak mencari pengganti kalau diberitahu bahawa dia telah berpunya. Takkanlah nak tunggu juga? (Masa itu penulis belum tahu perkara sebenar.) Selepas TP menceritakan perkara sebenar,  penulis tidak menceritakan apa yang penulis alami sepanjang kekosong hati penulis. Kerana pada masa itu ada 2 perasaan yang bermain di dalam hati penulis – sayang berbunga-bunga dan marah kerana ditipu.

Dek kerana perasaan marah tersebut maka penulis mengambil keputusan untuk melakukan apa yang TP telah lakukan tetapi dengan kaedah lain. Maka terhasillah ujikaji penulis kerana penulis ingin mengetahui dan cuba memahami apa yang telah TP lalui.



Ujikaji penulis
Ujikaji ini telah dilakukan pada penghujung bulan Disember tahun lalu. Penulis telah meminta tolong salah seorang kawan penulis di Facebook untuk meletakkan posting manja di garisan masa (TL) penulis. Selain itu kami telah berbalas komen dengan bersayang-sayang. Semua ini semata-mata untuk mengetahui apa yang telah TP lalui semasa dia menjarakkan diri dari penulis.

Apa yang penulis dapat dari uji kaji ini ialah:
1)      TP menjadi dingin dengan penulis. Tindak balas yang sama penulis berikan setelah dia beritahu yang dia telah berpunya.
2)      Hati terasa sakit seperti dilukakan dengan benda tajam sebab menipu diri sendiri dan orang lain. Mungkin apa yang TP rasa sebelum ini lebih teruk berbanding apa yang penulis rasa kerana penulis telah mengagak kemungkinan ini.


Kesimpulan
Jika ada orang yang menyayangi anda sepenuhnya, hargailah mereka. Jika sampai suatu masa di mana hubungan anda renggang berusahalah untuk perbaiki dengan sabar, berubah menjadi lebih baik dan tidak berputus asa dengan orang itu. Berilah masa untuk kedua-dua belah pihak memahami antara satu sama lain. Sekarang penulis sedang menunggu masa di mana TP telah kurang dinginnya sebelum menceritakan perihal ini. Semoga dengan ini kami lebih memahami diri masing-masing serta hubungan kami bertambah baik. J


Sunday, 6 January 2013

Matlamat Hidup


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya selama ini penulis berada dalam kekeliruan. Kekeliruan dalam mencari matlamat hidup penulis yang sebenar. Tenggelam timbul penulis dibuai ombak dunia. Penulis ni bukanlah seorang yang alim. Ilmu yang penulis miliki ibarat setitik dakwat pena sahaja.



Ya, memang dalam doa iftitah ada menyatakan tujuan hidup seseorang tetapi bagi penulis itu umum. Masih belum diperincikan lagi. Selama lebih 10 tahun penulis mencari, akhirnya baru-baru ini penulis menyedari matlamat hidup penulis yang sebenar.

KEMULIAAN - itulah yang penulis benar-benar inginkan. Kemuliaan yang penulis ingin dapatkan bukanlah kemuliaan duniawi tetapi kemuliaan di sisi-Nya sebab kemulian itulah yang merangkumi apa yang dinyatakan dalam doa iftitah.

Kenapa kemuliaan? Sebab ada seorang kawan penulis, yang di mana namanya selalu terngiang-ngiang dalam ingatan penulis. Semenjak dari perkenalan kami lagi namanya selalu teringat. Kalau tidak silap, penulis mengenalinya sejak dari tingkatan 3 lagi. Kami berkenalan di Myspace. Semasa di tingkatan 4 dan 5, penulis tinggal di asrama. Sejak dari itu jarang sekali penulis menghubunginya. Boleh kata kami telah terputus hubungan dan rasanya setelah beberapa lama penulis sambung belajar di universiti baru kami berhubung semula.

Pada mulanya penulis tidak mempedulikan ingatan tersebut tetapi setelah semakin buntu dalam mencari matlamat hidup, penulis meneroka kemungkinan baru. Penulis mencari maksud nama orang yang penulis selalu teringat itu dan akhirnya penulis yakin itulah matlamat yang sepatutnya penulis kejar.

Jadi sekarang, apa yang berada di masa silam penulis jadikan pengajaran dan teladan. Masa depan penulis akan ditumpukan bagi mendapatkan kemuliaan di sisi-Nya.